Kuih buah melaka adalah kuih tradisional popular di Semenanjung Malaysia. Saya yakin rakyat di setiap negeri Semenanjung Malaysia kenal kuih ini dan para penjual kuih tradisi pasti menjadikan kuih ini sebagai salah satu produk jualannya.
Kuih buah melaka mempunyai rasa yang konservatif seperti kuih tradisi yang lain. Mempunyai gabungan elemen rasa manis, lemak dan sedikit masin di dalam satu suapan. Kita tertarik dengan visualnya yang kelihatan seperti satu objek bulat hijau yang gebu dilapisi kelapa parut dan keharuman daun pandan. Setelah dimasukkan ke dalam mulut, bunyi berdecit-decit ketika mengunyahnya menambahkan lagi kenikmatan kuih ini
Bahan-bahan Diperlukan:
- 4 sudu besar tepung pulut
- 1 sudu besar tepung beras
- 5 helai daun pandan – kisar dengan air dan ambil jus secukupnya
- Gula melaka – potong kecil
- 1/2 biji kelapa muda parut – ambil bahagian putih sahaja
- Sedikit garam – untuk gaul dengan kelapa parut
- Sedikit air kapur
Cara Cara:
- Bancuh tepung pulut dan tepung beras dengan air daun pandan dan air kapur sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel dan tak melekat di tangan.
- Ambil adunan sebesar ibu jari dan leperkan.
- Masukkan gula Melaka yang dipotong kecil atau dihancurkan supaya ianya betul betul cair semasa direbus.
- Tutup adunan kemas kemas dan gentel adunan dengan kedua tapak tangan supaya berbentuk bulat cantik.
- Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih. Kalau suka, boleh masukkan daun pandan yang dicarik dalam air rebusan supaya wangi.
- Masukkan bebola tepung tadi dan tunggu sehingga ianya timbul di permukaan air menandakan ianya telah masak dan sedia diceduk keluar.
- Tos dan terus masukkan ke dalam pinggan kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam.
- Golek golekkan kuih di atas kelapa tadi sehingga ianya betul betul bersalut.
- Sedia untuk dihidangkan.
Nota: Kepala parut ditekan tekan sedikit dengan sudu supaya rata. Jadi ianya lebih cantik.
SELAMAT MENCUBA 🙂
Leave a Reply